Aku petik artikel ini dari beberapa sumber, so, ini adalah kopi dan pasta ya! sekadar ingin berkongsi dengan orang luar sana..
Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab.
Dan kini, Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya diri ini untuk bertemu dengan bulan mulia lagi penuh rahmat iaitu Ramadhan al-Mubarak. Namun seringkali dilupai bahawa di penghujung bulan Rejab ini berlaku suatu peristiwa yang besar dan penuh bermakna bagi seluruh umat Islam khususnya. Peristiwa yang dimaksudkan ini ialah peristiwa Israk Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W menurut jumhur ulama.
Peristiwa-peristiwa penting bulan Rejab
1.Hijrah Pertama
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
2. Isra' dan Mi'raj
Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran.
Sementara itu Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran.
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran
4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.
5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.